Rasulullah adalah Ahli Politik
Sesungguhnya amat salahlah orang yang mencontohi Rasulullah hanya dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak semata-mata. Sesungguhnya amat naiflah pandangan orang yang tidak mahu terlibat dengan politik dan hanya mementingkan soal akidah dan ibadat sahaja.Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah uswatun hasanah bagi kita di dalam semua perkara, bukan hanya akidah, ibadat atau akhlak semata-mata? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah seorang ahli ekonomi dan ahli politik yang agung? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah merupakan seorang pemimpin sebuah kutlah (kelompok/gerakan) Islam (semasa di Mekah) dan baginda adalah Ketua Negara Islam (semasa di Madinah) dan sekali gus merupakan seorang pemimpin dunia Islam? Adakah sebagai seorang pemimpin sebuah kutlah, Rasulullah bukan ahli politik? Adakah sebagai seorang pemimpin negara dan pemimpin dunia, Rasulullah bukan ahli politik? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah mengajak manusia kepada (agama) Islam dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti politik di dalam dakwahnya, baik di Mekah mahupun di Madinah? Tidakkah mereka sedar akan hadis Rasulullah yang masyhur (semasa Rasulullah masih di Mekah),
“Demi Allah, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, hinggalah Allah benar-benar memenangkanku atau aku hancur bersamanya, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan.” [HR At-Thabari].
May 18, 2009
|